Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Rasulullah’

Layakkah Ku Merinduimu?

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tibanya jemaah di Jeddah kira-kira pada pukul 5.00 petang (iaitu pukul 10.00 malam waktu di Malaysia). Eloklah, waktu itu merupakan waktu yang agak sibuk di sana. Setelah selesai urusan pengesahan passport setiap jemaah yang datang menziarahi lapangan terbang (Jeddah) ini, kami terpaksa menunggu bas untuk bergerak ke Madinah yang diberi gelar al-Munawarah. Setelah puas menunggu kira-kira 1 jam, bas yang akan membawa kami ke Madinah akhirnya sampai, Alhamdulillah!

Perasaanku ketika tiba di Jeddah secara jujurnya boleh ku katakan macam tiada apa-apa yang istimewa tentang tempat ini. Keadaannya panas, kering, bangunannya tidak membangun dan tidaklah semoden di Malaysia ini. Bangunan rumah pula mirip seperti rumah-rumah arab seperti digambarkan dalam buku-buku sirah sekolah rendahku. Ketawa kecil hatiku ini. “Aduh, bodohnya aku! Tidak sedarkah aku ini sedang berada di Tanah Haram?” Tegur hati kecilku. Astaghfirullah, susahnya nak jaga hati ini.

Perjalanan dari Jeddah ke Madinah mengambil masa lebih kurang 4 jam. Setelah dicongak waktu perjalanan dari Jeddah ke Madinah tolak waktu berehat, solat Qasar, serta lain-lain penagguhan waktu perjalanan, kami tiba di bandar Madinah al-Munawwarah kira-kira jam 1.30 pagi. Setibanya di Bandar Madinah, alangkah gemuruhnya perasaanku melihat bandar di mana Rasulullah telah menjanjikan barakah Tanah Haram Madinah ini. Rasulullah pernah berdoa yang bermaksud:

“Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah sebagaimana Engkau berikan kecintaan kepada Makkah, atau lebih dari itu dan bersihkanlah ia serta berkatilah kepada kami dalam makanan dan bekalnya dan gantikan wabak penyakitnya dengan juhfah.”

(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam Hadith yang lain Rasulullah bersabda:

“Madinah adalah tanah haram, letakknya antara Bukit Eir dan Bukit Tsur, sesiapa yang melakukan kezaliman (maksiat) atau melindungi orang yang melakukan kezaliman di dalamnya maka ke atasnya laknat Allah SWT, malaikat dan manusia seluruhnya dan semua amalan sama ada yang wajib atau sunat tidak diterima oleh Allah SWT daripadanya pada hari kiamat kelak.”

(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Manakala Rasulullah telah berdoa kepada Allah agar sukatan dan timbangan di Tanah Haram Madinah ini diberkati dua kali ganda daripada Ummul Qura (Makkah). Baginda bersabda:

“Sesungguhnya Ibrahim telah mengharamkan Mekah dan mendoakan penduduknya dan sesungguhnya aku pun mengharamkan Madinah sebagaimana Ibrahim telah mengharamkan Mekah. Dan sesungguhnya aku juga berdoa agar setiap sha` dan mudnya (sukatan/timbangan) diberkati dua kali ganda dari yang didoakan Ibrahim untuk penduduk Mekah.”

(Hadith Riwayat Muslim)

Ya Allah, aku sekarang berada di Tanah Haram yang telah diberkahi oleh kekasihmu! Sedang dalam keasyikan ku melihat keindahan malam bandar Madinah, mutawif yang bertugas menerangkan tentang sejarah serta keistimewaan Tanah Haram ini. Selesai sahaja diterangkannya tentang peristiwa-peristiwa bersejarah di Tanah Suci ini, tiba-tiba kedengaran sebuah lagu nasyid yang dimainkan. (Mutawif tu ambik handset dia letak dekat mikrofon yang disediakan atas bas tu). Lagu yang dimainkan tersebut rupanya adalah lagu dari kumpulan Raihan yang bertajuk “Alangkah Indahnya Hidup Ini”. Sukar menggambarkan perasaan diri ini ketika meneliti serta menghayati bait-bait lirik nasyid ini. Entah bagaimana pipiku mula dibasahi dengan air mata. Aku tidak dapat meluahkan perasaanku ketika itu.

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu
Kan pasti mengalir air mataku
Kerna pancaran ketenanganmu

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kukucup tanganmu
Moga mengalir keberkatan dalam diriku
Untuk mengikut jejak langkahmu

Ya Rasulullah Ya Habiballah
Tak pernah kutatap wajahmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kami rindu padamu
Allahumma Solli Ala Muhammad
Ya Rabbi Solli Alaihi Wasallim ( 2X )

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kudakap dirimu
Tiada kata yang dapat aku ucapkan
Hanya tuhan saja yang tahu

Kutahu cintamu kepada umat
Umati kutahu bimbangnya kau tentang kami
Syafaatkan kami
Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu

Kan pasti mengalir air mataku
Kerna pancaran ketenanganmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Terimalah kami sebagai umatmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kurniakanlah syafaatmu…

Ya Rasulullah! Aku sedang menuju kepadamu wahai kekasih Allah! Aku khawatir aku tidak layak memiliki syafaatmu wahai Nabi Allah!

Layakkah aku!? Layakkah aku menatap wajahmu!?

Layakkah aku!? Layak aku mencium tanganmu!?

Layakkah aku!? Lagi layakkah aku mendakap dirimu Ya Rasulullah!?

Perasaanku bercampur sedih dan bahagia ketika itu. Sukar untukku menentukan manakah aku berada sekarang? Aku teringin sangat-sangat nak tatap wajahmu wahai Rasulullah, tapi banyak mana selawatku kepadamu? Aku teringin sangat-sangat nak cium tanganmu wahai Nabi Allah, tapi banyak mana sunnahmu aku amalkan? Aku teringin lagi memeluk tubuhmu wahai kekasih Allah, tapi siapalah aku ini di matamu wahai Rasulullah, andai ku ditanya tentang dirimu, hanya beberapa perkara sahaja yang ku tahu tentang dirimu Ya Rasulullah.

Malunya aku wahai Rasulullah di depanmu.  Siapalah diriku ini. Aku ini hamba yang bergelumang dengan dosa, lidah ini sudahlah berat nak berselawat ke atasmu, apatah lagi nak mengikut sunnahmu, nak beramal dengan sunnahmu?

Malunya aku Ya Rasulullah!!!

Ah, semasa aku di Malaysia bukan main rindu kepadamu semasa menyambut hari keputeraanmu. Bukan mainlah post status di Facebook, ” Aku merinduimu wahai Rasulullah! ” Tetapi esoknya benda lain pula dirindunya. Hipokritnya aku! Adakah aku membohongi diriku? Aduhai malunya aku!

Aku mulai sedar, setelah aku menjejakkan kakiku di Tanah Suci ini, betapa besarnya berkat tanah Suci ini, betapa besarnya ganjaran yang telah Nabi janjikan kepada sesiapa yang menziarahi Masjid Nabawi serta maqamnya. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Janganlah kamu bersusah payah untuk musafir melainkan ke tiga buah masjid: Masjidilharam, masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa”

(Hadith Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan Ahmad dalam lafaz-lafaz yang berbeza)

Daripada Ibnu Umar r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang menziarahi maqamku, pasti dia mendapat syafaatku.”

(Hadith Riwayat ad-Daruqutni)

Sebelum menziarahi maqam Rasulullah, hendaklah dipersiapkan dahulu segala niat kita, sucikan hati ini, bersihkan segala kekotoran yang ada pada diri. Kita perlu mengetahui adab-adab menziarahi maqam Rasulullah. Sesudah itu, setibanya di hadapan maqamnya, sampaikanlah salam kepada Rasulullah s.a.w. dengan lafaz:

“السلام عليك يا رسول الله, السلام عليك يا نبي الله السلام عليك يا حبيب الله”

Dengan peluang yang ada ini, inginku berusaha meningkatkan ibadahku di Masjid Nabawi ini kerana Rasulullah telah mengingatkan kita tentang satu hadith sohih yang bermaksud, dari Jabir , Rasulullah SAW telah bersabda:

“Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada 1000 solat di tempat lain kecuali di Masjidil Haram, dan solat di Masjidil Haram lebih baik daripada 100,000 solat daripada tempat lain.”

(Hadith Riwayat Ahmad)

Insya-Allah, semoga Allah menerima segala amalanku di Tanah Suci ini, bahkan sesudah pulang ke tanah air nanti, segala amal iabdahku juga diterima dan semangat untuk melakukan amalan-amalan soleh dirasai kemanisan dan diredhai oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya hanyalah redha Allah sahaja yang kucari dalam mencari erti hidup ini.

Allahumma Solli ‘Ala Muhammad wa ‘ala alihi wasohbihi wabaarik wasallim.

Advertisements

Read Full Post »